Rabu, 30 September 2015

Step by Step Cara Membuat Kuih Bakar Kacang

Kuih Bakar Kacang

Kuih bakar kacang merupakan sejenis kuih tradisional Melayu Malaysia yang diperbuat daripada kacang hijau. Kacang hijau yang telah dibuang kulit, di basuh dan digoreng hingga keperangan. Kemudian dikisar sehingga halus. Dicampur dengan tepung ubi dan bahan lain.

Kuih tradisional ini mempunyai acuan yang unik dengan corak daunnya. Kuih ini menjadi kegemaran masyarakat Melayu di Malaysia terutama golongan tua. Ia sesuai untuk majlis kenduri dan hidangan hari raya. Kuih ini sukar didapati kerana proses membuatnya yang agak rumit iaitu ketika proses menerapnya dan tiada generasi baru yang mahu mempelajarinya.


RESIPI KUIH BAKAR KACANG

OLEH : SAJIAN HATI


Bahan-bahan :


1 kg kacang hijau yang dibuang kulit
1 kg tepung ubi
Gula halus secukupnya
4 biji telur
Sedikit garam
Santan pekat daripada sebiji kelapa


Cara Membuatnya :

Kacang hijau dibasuh dan digoreng tanpa minyak hingga kuning dan garing.



 Tepung ubi juga digoreng tanpa minyak hingga wangi dan ringan.



Setelah itu, kisar kacang hijau hingga halus. Ayak agar kisaran kacang lebih halus. Sukat kacang hijau yang telah dimesin menggunakan mangkuk.


Perhatian :

1 mangkuk kacang yang dimesin bersamaan 1 mangkuk gula halus dan 1 mangkuk tepung ubi harus dimasukkan ke dalam adunan.

Contohnya jika terdapat 3 mangkuk kacang yang telah dimesin, sila masukkan 3 mangkuk gula halus dan 3 mangkuk tepung ubi.

Setelah disukat semua, lebihkan sedikit gula dengan memasukkan 5 sudu besar gula halus lagi. Kacau rata ketiga-tiga bahan ini.



Telur dipecah dan dipukul hingga kembang dan masukkan sedikit garam.



Seterusnya, masukkan telur ke dalam campuran tepung tadi. Gaul lagi.



Kemudian masukkan santan secukupnya. Uli hingga sebati.



Tekan doh dengan meletakkan sedikit minyak ke atas acuan agar mudah untuk mengeluarkan kuih dan tidak menjejaskan kecantikan kuih.


Sebelum meletakkan kuih di atas loyang, sapukan sedikit minyak di atasnya agar kuih mudah ditanggalkan dan tidak melekat.


Bakar dalam ketuhar hingga masak dan garing. Sedia untuk dinikmati.


Kuih Bakar Kacang

Agar-agar Kering Berperisa

Agar-agar Kering Berperisa

Bahan-bahan :

1 tahil agar-agar bertali (37.5 gram)
1 kg gula pasir
Air yang disukat
Strawberi emulco @ Perisa strawberi
Pandan emulco @ Perisa pandan
Oren emulco @ Perisa oren
Pewarna yang sesuai jika menggunakan perisa


Cara Membuatnya :

1. Langkah pertama, basuh agar-agar bertali sehingga bersih.

2. Masukkan agar-agar ini ke dalam jug air. Tujuan memasukkan agar-agar ke dalam jug adalah untuk menyukat kandungan agar-agar dan jumlah air yang perlu dimasukkan.

3. Tandakan kedudukan agar-agar tersebut di jug. Contohnya jika agar-agar tersebut berada di tengah jug, tandakan kedudukan tersebut.

4. Setelah itu, tuangkan agar-agar ke dalam periuk.

5. Masukkan air sebanyak 2 kali di mana kedudukan agar-agar yang ditanda pada jug tadi.

6. Rebus agar-agar bersama air yang disukat sehingga mendidih dan hancur.

7. Apabila agar-agar telah hancur semuanya, masukkan gula pasir.

8. Masak hingga mendidih dan bolehlah tutup api.

9. Asingkan agar-agar kepada 4 bekas. Setiap bekas diletakkan warna dan perisa yang dikehendaki.

10. Setelah sejuk dan keras bolehlah dipotong. Jangan potong terlalu kecil kerana agar-agar akan mengecut selepas kering.

11. Jemur agar-agar dan sesekali balik-balikkan agar-agar supaya kering sekata. Jemur sehingga seminggu dan agar-agar tidak melekat serta kering sepenuhnya.

Samperit Susu Dahlia

Samperit Susu Dahlia
Samperit Susu Dahlia
Samperit Susu Dahlia

Bahan-bahan :

250 gram buttercup
½ tin susu pekat
100 gram tepung ubi
450 gram tepung jagung
1 sudu teh esen vanila
Pewarna yang disukai


Cara Membuatnya :

1. Butter dan susu pekat dipukul hingga sebati tetapi tidak perlu lama sangat. 

2. Jika pukul lama bila dibakar nanti kuih akan kembang.

3. Kemudian, masukkan esen vanila.

4. Masukkan tepung ubi dan tepung jagung yang telah diayak sedikit demi sedikit.

5. Bahagikan adunan kepada dua warna ikut kesukaan.

6. Guna acuan samperit pecah 15 jika tiada boleh terap bentuk yang disukai.

7. Bakar pada suhu 150 oC selama 15-20 minit atau mengikut ketuhar masing-masing.

Selasa, 29 September 2015

Biskut Campuran Badam dan Cornflakes

Biskut Campuran Badam dan Cornflakes

Bahan-bahan :

1 cawan marjerin
¾ cawan gula perang
½ cawan badam (dipanggang dan dikisar)
½ cawan cornflakes yang dikisar
3 cawan tepung gandum @ secukupnya
1 sudu teh esen vanila
Nestum (untuk ditabur)
Coklat masakan


Cara Membuatnya :

1. Pukul gula perang bersama marjerin hingga kembang.

2. Masukkan esen vanila dan kacau lagi.

3. Seterusnya, masukkan badam dan cornflakes.

4. Akhir sekali, masukkan tepung gandum secukupnya.

5. Uli hingga menjadi doh.

6. Masukkan doh ke dalam cawan kertas dan bakar hingga masak.

7. Cairkan coklat masakan dan tuangkan ke atas kuih.

8. Taburkan nestum di atasnya.

9. Tunggu hingga coklat keras dan simpan dalam bekas kedap udara.

Aiskrim Coconut Shake

Aiskrim Coconut Shake

Bahan-bahan :

1 biji kelapa muda (diambil isi dan airnya)
Susu pekat manis secukupnya


Cara Menyediakannya :

1. Masukkan isi kelapa muda dan airnya di dalam blender.

2. Tuangkan susu pekat secukupnya mengikut manis yang dikehendaki.

3. Kisar hingga isi kelapa hancur dan sebati.

4.Tuangkan ke dalam bekas acuan aiskrim.

5. Bekukan sehingga keras.

6. Lalukan bekas acuan dengan air agar aiskrim mudah ditanggalkan.

7. Sedia untuk dinikmati dan pasti anda merasa kesedapannya.

Jumaat, 25 September 2015

Biskut Kismis Rangup Cornflakes

Biskut Kismis Rangup Cornflakes

Bahan-bahan :

150 gram tepung gandum
1 camca teh serbuk penaik
¼ camca teh garam
100 gram cornflakes (dikisar)
½ cawan kismis
150 gram mentega @ marjerin
50 gram gula aising
50 gram gula perang
1 camca teh esen vanila
1 biji telur


Cara Membuatnya :

1. Ayak bersama tepung gandum, serbuk penaik dan garam di dalam mangkuk.

2. Kemudian masukkan cornflakes dan kismis. Ketepikan dulu.

3. Pukul mentega bersama gula aising dan gula perang sehingga sebati.

4. Masukkan telur dan esen vanila. Kacau lagi.

5. Kaup balikkan campuran cornflakes tadi.

6. Sudukan adunan ke dalam cawan kertas.

7. Bakar dalam ketuhar bersuhu 180oC selama 15-20 minit atau hingga kekuningan.

8. Keluarkan dari ketuhar dan sejukkan.

9. Kemudian paip coklat putih cair keatasnya jika suka.

Selasa, 22 September 2015

German Strawberry Cookies

German Strawberry Cookies

German Strawberry Cookies

Bahan-bahan :

125 gram butter
125 gram tepung kentang
80 gram tepung gandum (tepung superfine pun boleh)
40 gram gula aising
Secubit garam (tak letak pun tak apa)
1 sudu teh strawberi emulco


Cara Membuatnya :

1. Satukan tepung kentang dan tepung gandum. Ayakkan keduanya.

2. Putar butter dengan gula aising sehingga kembang.

3. Kemudian, masukkan strawberi emuco.

4. Masukkan tepung yang telah diayak sedikit demi sedikit sehingga menjadi doh.

5. Simpan adunan ke dalam peti sejuk selama 20 minit.

6. Keluarkan adunan dan ambil sedikit, buat bentuk bulat-bulat kecil sebesar guli.

7. Susun di atas dulang pembakar yang telah disapu dengan butter.

8. Celup garpu dalam air suam dan tekan ke atas bebola sehingga membentuk corak.

9. Bakar pada suhu 175oC selama 20 minit.

10. Sejukkan dan masukkan dalam bekas kedap udara.