Rabu, 30 September 2015

Step by Step Cara Membuat Kuih Bakar Kacang

Kuih Bakar Kacang

Kuih bakar kacang merupakan sejenis kuih tradisional Melayu Malaysia yang diperbuat daripada kacang hijau. Kacang hijau yang telah dibuang kulit, di basuh dan digoreng hingga keperangan. Kemudian dikisar sehingga halus. Dicampur dengan tepung ubi dan bahan lain.

Kuih tradisional ini mempunyai acuan yang unik dengan corak daunnya. Kuih ini menjadi kegemaran masyarakat Melayu di Malaysia terutama golongan tua. Ia sesuai untuk majlis kenduri dan hidangan hari raya. Kuih ini sukar didapati kerana proses membuatnya yang agak rumit iaitu ketika proses menerapnya dan tiada generasi baru yang mahu mempelajarinya.


RESIPI KUIH BAKAR KACANG

OLEH : SAJIAN HATI


Bahan-bahan :


1 kg kacang hijau yang dibuang kulit
1 kg tepung ubi
Gula halus secukupnya
4 biji telur
Sedikit garam
Santan pekat daripada sebiji kelapa


Cara Membuatnya :

Kacang hijau dibasuh dan digoreng tanpa minyak hingga kuning dan garing.



 Tepung ubi juga digoreng tanpa minyak hingga wangi dan ringan.



Setelah itu, kisar kacang hijau hingga halus. Ayak agar kisaran kacang lebih halus. Sukat kacang hijau yang telah dimesin menggunakan mangkuk.


Perhatian :

1 mangkuk kacang yang dimesin bersamaan 1 mangkuk gula halus dan 1 mangkuk tepung ubi harus dimasukkan ke dalam adunan.

Contohnya jika terdapat 3 mangkuk kacang yang telah dimesin, sila masukkan 3 mangkuk gula halus dan 3 mangkuk tepung ubi.

Setelah disukat semua, lebihkan sedikit gula dengan memasukkan 5 sudu besar gula halus lagi. Kacau rata ketiga-tiga bahan ini.



Telur dipecah dan dipukul hingga kembang dan masukkan sedikit garam.



Seterusnya, masukkan telur ke dalam campuran tepung tadi. Gaul lagi.



Kemudian masukkan santan secukupnya. Uli hingga sebati.



Tekan doh dengan meletakkan sedikit minyak ke atas acuan agar mudah untuk mengeluarkan kuih dan tidak menjejaskan kecantikan kuih.


Sebelum meletakkan kuih di atas loyang, sapukan sedikit minyak di atasnya agar kuih mudah ditanggalkan dan tidak melekat.


Bakar dalam ketuhar hingga masak dan garing. Sedia untuk dinikmati.


Kuih Bakar Kacang

Agar-agar Kering Berperisa

Agar-agar Kering Berperisa

Bahan-bahan :

1 tahil agar-agar bertali (37.5 gram)
1 kg gula pasir
Air yang disukat
Strawberi emulco @ Perisa strawberi
Pandan emulco @ Perisa pandan
Oren emulco @ Perisa oren
Pewarna yang sesuai jika menggunakan perisa


Cara Membuatnya :

1. Langkah pertama, basuh agar-agar bertali sehingga bersih.

2. Masukkan agar-agar ini ke dalam jug air. Tujuan memasukkan agar-agar ke dalam jug adalah untuk menyukat kandungan agar-agar dan jumlah air yang perlu dimasukkan.

3. Tandakan kedudukan agar-agar tersebut di jug. Contohnya jika agar-agar tersebut berada di tengah jug, tandakan kedudukan tersebut.

4. Setelah itu, tuangkan agar-agar ke dalam periuk.

5. Masukkan air sebanyak 2 kali di mana kedudukan agar-agar yang ditanda pada jug tadi.

6. Rebus agar-agar bersama air yang disukat sehingga mendidih dan hancur.

7. Apabila agar-agar telah hancur semuanya, masukkan gula pasir.

8. Masak hingga mendidih dan bolehlah tutup api.

9. Asingkan agar-agar kepada 4 bekas. Setiap bekas diletakkan warna dan perisa yang dikehendaki.

10. Setelah sejuk dan keras bolehlah dipotong. Jangan potong terlalu kecil kerana agar-agar akan mengecut selepas kering.

11. Jemur agar-agar dan sesekali balik-balikkan agar-agar supaya kering sekata. Jemur sehingga seminggu dan agar-agar tidak melekat serta kering sepenuhnya.

Samperit Susu Dahlia

Samperit Susu Dahlia
Samperit Susu Dahlia
Samperit Susu Dahlia

Bahan-bahan :

250 gram buttercup
½ tin susu pekat
100 gram tepung ubi
450 gram tepung jagung
1 sudu teh esen vanila
Pewarna yang disukai


Cara Membuatnya :

1. Butter dan susu pekat dipukul hingga sebati tetapi tidak perlu lama sangat. 

2. Jika pukul lama bila dibakar nanti kuih akan kembang.

3. Kemudian, masukkan esen vanila.

4. Masukkan tepung ubi dan tepung jagung yang telah diayak sedikit demi sedikit.

5. Bahagikan adunan kepada dua warna ikut kesukaan.

6. Guna acuan samperit pecah 15 jika tiada boleh terap bentuk yang disukai.

7. Bakar pada suhu 150 oC selama 15-20 minit atau mengikut ketuhar masing-masing.