Jumaat, 18 April 2014

Karipap Sardin

karipap sardin

Bahan Untuk Kulit :

500 gram tepung gandum (diayak)
3 sudu besar marjerin (dipanaskan sehingga cair)
Sedikit garam
Air secukupnya


Bahan Untuk Inti :

1 tin besar sardin (dihancurkan isinya)
1 labu bawang besar (dihiris nipis)
2-3 biji ubi kentang (dipotong dadu)
3 biji cili padi (dihiris nipis)
1 biji limau nipis
Sedikit sos cili
Garam secukup rasa


Cara Membuat Kulit :

1. Masukkan marjerin yang telah dicairkan ke dalam tepung gandum. Gaulkan.

2. Kemudian masukkan air garam sedikit demi sedikit. 

3. Uli hingga permukaan doh menjadi licin dan tidak melekat pada tangan.

4. Kemudian bolehlah dibentuk untuk membuat karipap.


Cara Membuat Inti :

1. Panaskan sedikit minyak, tumis bawang besar dan cili padi hingga agak layu.

2. Masukkan ikan sardin yang dihancurkan bersama sosnya dan juga ubi kentang.

3. Perah limau dan masukkan garam secukup rasa.

4. Masak sehingga ubi kentang empuk dan kuahnya agak kering.

5. Tutup api dan masukkan sedikit sos cili.

Rabu, 16 April 2014

Lepat Labu

Lepat Labu Kuning
Lepat Labu Kuning
Lepat Labu

Bahan-bahan :

½ biji labu kuning
8-10 sudu besar gula
3 cawan tepung beras
2 cawan tepung gandum
Santan secukupnya
Sedikit garam
Daun pisang (dilayurkan)


Cara Membuatnya :

1. Rebus labu sehingga empuk dan dilenyekkan di dalam bekas.

2. Masukkan gula, sedikit garam, tepung gandum dan tepung beras.

3. Masukkan santan sedikit demi sedikit. Kacau hingga semuanya sebati.

4. Santan dimasukkan secukupnya iaitu tidak terlalu pekat atau terlalu cair.

5. Ambil dua sudu besar adunan dan letakkan di tengah-tengah daun pisang.

6. Bungkus dengan kemas dan kukus sehingga masak. Sedia untuk dihidang.

Selasa, 15 April 2014

Petua Memasak Agar-agar Supaya Cukup Lembut dan Manisnya

sudu logam

Untuk mendapatkan agar-agar yang lembut seperti yang dikehendaki adalah amat sukar. Hal ini kerana apabila ianya telah mengeras, semuanya sudah terlambat dan tidak boleh berbuat apa-apa lagi. Di sini ada petua untuk mendapatkan agar-agar yang lembut dan mempunyai rasa manis yang dikehendaki. Seperti yang kita tahu, agar-agar apabila telah mengeras, akan berubah rasanya dan ini amat membimbangkan.

Caranya amat mudah iaitu apabila agar-agar telah mendidih dan sedia untuk disejukkan, sudukan sedikit agar-agar yang masih panas dengan menggunakan sudu logam. Masukkan sudu yang berisi agar-agar itu ke dalam peti sejuk ditempat beku. Biarkan sehingga agar-agar keras dan jangan sampai beku.

Apabila ianya telah keras dan sejuk, keluarkan dan rasa agar-agar tersebut. Kita akan dapat mengetahui sama ada agar-agar itu keras atau lembut. Selain itu, kita juga dapat mengetahui rasanya sama ada kurang manis atau terlajak manis.

Jika masih keras, kita boleh tambahkan air masak ke dalam agar-agar supaya ianya lembut seperti yang dikehendaki. Gula juga boleh ditambah jika kurang manis. Oleh itu, tiada masalah lagi dalam memasak agar-agar. Kita boleh mengetahui keadaannya sebelum ianya sejuk sepenuhnya. Selamat Mencuba.