Rabu, 16 November 2011

Biskut Pandan Sweet


Biskut Pandan Sweet

Bahan-bahan : 


1 cawan marjerin
½ cawan gula halus
1 sudu teh perisa pandan
1 biji telur
¼ cawan tepung gandum
2 cawan tepung jagung
Coklat putih
Coco rice

Cara Membuatnya : 


Putar marjerin dan gula halus hingga kembang. Masukkan perisa pandan dan telur. Pukul lagi.

Seterusnya, masukkan tepung gandum dan tepung jagung. Uli hingga sebati.
Kemudian, canai adunan dan tekan dengan menggunakan acuan bunga. Bolehlah dibakar hingga masak.

Setelah itu, masak coklat putih dan tuangkan sedikit coklat ditengah-tengah kuih tersebut dan taburkan coco rice.

Biskut Makmur Berunai


Biskut Makmur Berunai

Bahan-bahan : 


500 gram tepung gandum
Kacang tanah (digoreng tanpa minyak dengan api yang perlahan sehingga masak)
Gula halus secukupnya
Minyak masak secukupnya

Cara Membuat Intinya : 


Mesin kacang tanah sehingga halus. Kemudian, masukkan sedikit gula halus ke dalamnya. Gaul hingga sebati. 

Cara Membuat Tepungnya :


Panaskan minyak masak ke dalam periuk. Kemudian, tuangkan minyak yang panas tersebut ke dalam tepung. Gaul tepung hingga sebati dan boleh dibentuk.

Setelah itu, bentukkan adunan tepung tersebut berbentuk bulat dan masukkan sedikit kacang tadi sebagai inti. Tutup semula.

Bolehlah dibakar hingga masak. Akhir sekali, golekkan dengan gula hingga putih. Pastikan semasa menggolek, kuih tersebut masih panas jika tidak gula tidak dapat melekat di permukaan kuih.

Biskut Lenga


Biskut Lenga

Bahan-bahan : 


1 cawan gula halus
1 ½ cawan marjerin
3 cawan tepung ubi
3 cawan tepung gandum
1 cawan biji lenga
1 camca teh baking powder
1 biji telur ayam

 

Cara Membuatnya : 


Pukul marjerin dengan gula hingga putih. Masukkan telur dan kacau lagi.

Kemudian, masukkan biji lenga. Masukkan juga tepung ubi dan tepung gandum yang telah diayak bersama baking powder. Masukkan sedikit demi sedikit. Uli adunan hingga sebati.

Canai dan terapkan dengan acuan mengikut citarasa sendiri. Sapu dengan telur ataupun susu di atas dengan menaburkan biji lenga di atasnya.

Bakar hingga masak.

Kek Karamel


Kek Karamel

Bahan (A) - Bahagian Gula Hangus 


Loyang saiz 7x7
2 sudu besar gula (untuk dijadikan gula hangus)

Bahan (B) - Bahagian Atas (Karamel) 


1/2 tin susu cair FN
70 gram gula kastor
1/2 sudu teh esen vanila
3 biji kuning telur

Bahan (C) - Lapisan Kek 


140 gram tepung gandum
70 gram gula kastor
3 biji kuning telur
135 ml air biasa
1 sudu teh baking powder (guna sudu KFC)
45 ml minyak masak

Bahan (D) - Cara Buat Merinque 


6 biji putih telur
70 gram gula kastor
1 sudu teh krim of tartar (guna sudu KFC) 

 

Cara Membuat Bahan A : 


Tabur gula dalam loyang dan masak atas api yang perlahan. Biarkan gula hancur dan bertukar menjadi warna perang. Kemudian, biarkan gula tersebut sejuk. 

Cara Membuat Bahan B : 


Kacau semua bahan (B) perlahan-lahan dan jangan sampai berbuih. Jika berbuih, karamel tidak akan jadi.

Masukkan bahan (B) ke dalam loyang gula hangus tadi iaitu bahan (A) dengan menapiskannya terlebih dahulu (guna penapis).

Cara Membuat Bahan C : 


Pukul gula dan telur hingga kembang. Masukkan air, baking powder dan juga tepung. Kemudian, masukkan minyak masak. Gaul hingga sebati.

Cara Membuat Bahan D : 


Pukul bahan (D) menggunakan mesin hingga kembang. Pukul hingga apabila kita angkat adunan tersebut tidak akan jatuh. Putar mesin dengan kelajuan yang tinggi.


Cara Membuat Keseluruhannya : 


Campurkan adunan (C) + (D) dan gaul menggunakan senduk hingga sebati.

Bahagikan kepada beberapa bahagian dan letakkan pewarna atau perisa jika mahu.

Masukkan ke dalam loyang tadi. Bakar cara double boiling iaitu dengan menggunakan dua loyang. Satu loyang yang besar dimasukkan air dan satu loyang lagi untuk adunan kek.

Kemudian, letakkan loyang yang berisi kek ke dalam loyang yang berisi air. Bakar selama 1 jam suhu 160-180C.

Bila sudah masak angkat dan rehatkan selama 10 minit. Kemudian, baru terbalikkan kek yg dibakar tadi.

Masukkan ke dalam  peti sejuk selama 1 jam dan bolehlah dimakan sejuk-sejuk. Kek ini hanya boleh bertahan selama 5 hari dalam peti sejuk.

Biskut Cincin


Biskut Cincin

Bahan-bahan : 

2 cawan tepung gandum
1 cawan marjerin
1 cawan tepung kastard
1 cawan gula halus
2 biji telur merah sahaja
1 sudu teh esen vanilla
1 botol coco rice

 

Cara Membuatnya : 


Pukul marjerin dengan gula hingga kembang. Masukkan 1 biji telur merah serta esen vanilla dan pukul lagi.

Seterusnya, masukkan tepung gandum, tepung kastard yang telah diayak. Uli hingga sebati.

Canai setebal setengah inci atau (ikut suka) dan tekan dengan acuan kuih cincin.

Sapu merah telur dan tabur coco rice. Kemudian bolehlah dibakar hingga masak.

Kuih Loyang @ Kuih Goyang @ Kuih Sarang Tebuan


Kuih Loyang @ Kuih Sarang Tebuan

Bahan-bahan : 


1 kg tepung beras
4 biji telur
2 senduk gula atau secukup rasa
Sedikit air kapur
Air secukupnya

Cara Membuatnya : 


Ayak tepung beras terlebih dahulu. Kemudian masukkan telur dan gula. Gaulkan.

Seterusnya, masukkan air kapur sedikit demi sedikit. Kacau lagi. Masukkan air hingga adunan cair dan sesuai untuk digoreng. Jika kuih terlalu keras, boleh tambahkan air.

Panaskan minyak di dalam kuali dan panaskan satu lagi minyak di dalam periuk kecil dan rendamkan acuan kuih loyang di dalam periuk minyak tadi. Pastikan minyak dan acuan betul-betul panas kerana jika tidak kuih akan melekat di acuan semasa menggoreng nanti.

Apabila minyak panas, rendamkan acuan ke dalam tepung yang dibancuh tadi dan masukkan ke dalam kuali. Kemudian, goyang-goyangkan acuan agar kuih dapat dikeluarkan dari acuan.

Seterusnya, apabila kuih telah keluar masukkan semula acuan ke dalam periuk yang berisi minyak untuk dipanaskan.  Kemudian, ulang lagi dengan memasukkan acuan ke dalam adunan. Buat sehingga adunan habis.

Goreng kuih hingga warna keemasan. Akhir sekali, bolehlah disimpan di dalam bekas kedap udara untuk menjamin kualiti kuih.