Memaparkan catatan dengan label Kuih Tradisional. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Kuih Tradisional. Papar semua catatan

Sabtu, 6 September 2014

Wajik Gula Merah

Wajik Gula Merah

Sumber Resipi :
Nenek Tersayang

Bahan-bahan :

1 kg beras pulut
1 kg santan pekat
1 kg gula merah
500 gram gula pasir
3 cawan air
Daun pandan (disimpul)


Cara Membuatnya :

1. Basuh dan rendam beras pulut semalaman.

2. Panaskan periuk pengukus dan kukus pulut sehingga masak.

3. Campurkan gula merah dan gula putih di dalam periuk beserta daun pandan.

4. Masak gula bersama air sehingga gula larut dan ditapis.

5. Di dalam kuali, campurkan santan dan air gula yang ditapis tadi.

6. Letakkan daun pandan yang disimpul untuk mewangikannya.

7. Masak sehingga mendidih.

8. Masukkan pulut dan kacau sehingga airnya kering.

9. Tuangkan ke dalam bekas dan dibiarkan sejuk sepenuhnya.

10. Potong dan sedia untuk dihidang.

Khamis, 8 Ogos 2013

Kuih Buah Rotan

Kuih Buah Rotan

Bahan-bahan :

400 gram tepung pulut
Santan
2 biji telur ayam (pukul sedikit)
Sedikit garam
4 sudu besar gula
Bijan secukupnya
Minyak untuk menggoreng


Cara Membuatnya :

Santan dimasak hingga mendidih. Biarkan ianya sejuk.

Masukkan tepung pulut di dalam bekas. Masukkan gula, garam dan juga telur. Gaulkan.

Akhir sekali, masukkan santan yang dimasak sedikit demi sedikit hingga menjadi doh. Uli seperti adunan membuat karipap.

Ambil sedikit adunan dan buat bentuk bulat-bulat kecil. Jangan buat terlalu besar kerana ia akan mengembang ketika digoreng nanti.

Letakkan ke dalam bekas yang berisi bijan dan digolek-golekkan agar kena pada semua permukaan kuih dan tidak melekat antara satu sama lain.

Goreng hingga garing dengan api yang sederhana. Sedia untuk dihidang.

Rabu, 30 Januari 2013

Bahulu


Bahan-bahan :

60 gram tepung gandum
Sedikit garam
1 camca teh tepung beras
60 gram gula halus
2 biji telur
½ camca teh esen vanila


Cara Membuatnya :

1. Panaskan ketuhar pada suhu 190oC.

2. Penyediaan adunan :

a) Ayak tepung gandum bersama-sama dengan tepung beras dan garam.

b) Enjutkan telur dan gula hingga kembang dan gebu. Masukkan esen vanila.

c) Masukkan tepung ke dalam campuran telur dan kaup balikkan tepung ke dalamnya perlahan dengan sudu logam.

3. Panaskan acuan dalam ketuhar.

4. Keluarkan dan gliskan acuan menggunakan sedikit minyak.

5. Masukkan adunan ke dalam acuan sehingga ¾ penuh.

6. Bakar dalam ketuhar selama 15-20 minit sehingga kuning keemasan.

7. Keluarkan bahulu dengan menggunakan pencucuk.

8. Biarkan bahulu sejuk sebelum disimpan atau dihidang.

Rabu, 30 Mei 2012

Wajik Ros @ Pulut Kacau Ros

Wajik Ros atau Pulut Kacau Ros

Bahan-bahan :

3 cawan beras pulut (direndam semalaman)
1 ¾ cawan gula pasir
5 cawan santan
Sedikit garam
Perisa Ros
4 helai daun pandan (disimpul)

Cara Membuatnya :

Beras pulut direndam semalaman. Kemudian, bersih dan toskan hingga kering. Kukus beras pulut tadi hingga masak.

Masukkan santan, gula pasir, sedikit garam dan perisa ros secukupnya di dalam kuali. Masukkan juga daun pandan. Kacau hingga mendidih. 

Seterusnya, masukkan pulut yang telah dikukus tadi. Kacau hingga sebati dan pekat.

Bolehlah dituang ke dalam bekas dan disejukkan. Sedia untuk dihidang.

Ahad, 1 April 2012

Wajik @ Pulut Kacau Gula Merah

Wajik atau Pulut Kacau Gula Merah

Bahan-bahan : 

3 cawan beras pulut
2 cawan santan
1 ½ cawan gula merah
½ cawan gula pasir
2 helai daun pandan (diikat)
Secubit garam 

Cara Membuatnya : 

Beras pulut direndam semalaman. Kemudian, bersih dan toskan hingga kering. Kukus beras tadi hingga masak.

Masak gula merah dan gula putih bersama 1 cawan santan. Kacau hingga gula hancur. Tutup api dan tapis.

Seterusnya, masukkan gula yang ditapis tadi ke dalam kuali bersama 1 cawan santan, garam dan daun pandan untuk mewangikan.

Masak hingga mendidih, kemudian masukkan beras pulut. Kacau hingga sebati dan pekat.

Bolehlah dituang ke dalam bekas dan disejukkan.

Rabu, 16 November 2011

Kuih Loyang @ Kuih Goyang @ Kuih Sarang Tebuan


Kuih Loyang @ Kuih Sarang Tebuan

Bahan-bahan : 


1 kg tepung beras
4 biji telur
2 senduk gula atau secukup rasa
Sedikit air kapur
Air secukupnya

Cara Membuatnya : 


Ayak tepung beras terlebih dahulu. Kemudian masukkan telur dan gula. Gaulkan.

Seterusnya, masukkan air kapur sedikit demi sedikit. Kacau lagi. Masukkan air hingga adunan cair dan sesuai untuk digoreng. Jika kuih terlalu keras, boleh tambahkan air.

Panaskan minyak di dalam kuali dan panaskan satu lagi minyak di dalam periuk kecil dan rendamkan acuan kuih loyang di dalam periuk minyak tadi. Pastikan minyak dan acuan betul-betul panas kerana jika tidak kuih akan melekat di acuan semasa menggoreng nanti.

Apabila minyak panas, rendamkan acuan ke dalam tepung yang dibancuh tadi dan masukkan ke dalam kuali. Kemudian, goyang-goyangkan acuan agar kuih dapat dikeluarkan dari acuan.

Seterusnya, apabila kuih telah keluar masukkan semula acuan ke dalam periuk yang berisi minyak untuk dipanaskan.  Kemudian, ulang lagi dengan memasukkan acuan ke dalam adunan. Buat sehingga adunan habis.

Goreng kuih hingga warna keemasan. Akhir sekali, bolehlah disimpan di dalam bekas kedap udara untuk menjamin kualiti kuih.

Khamis, 15 September 2011

Tempeyek

Tempeyek

Bahan – bahan : 

300 gram  tepung beras
100 gram tepung jagung
1 biji telur
1 sudu besar jintan manis
15 - 20 biji cabai melaka
Garam secukup rasa
2 sudu besar gula
Kacang tanah
Ikan bilis
200 ml air
250 ml santan 

Cara Membuatnya : 

Goreng tanpa minyak jintan manis hingga wangi, kemudian tumbuk atau kisar kasar.

Campur kesemua bahan kecuali ikan bilis dan kacang. Kacau hingga sebati.

Panaskan minyak dan rendam acuan dalam minyak hingga panas.

Isi adunan dalam acuan dan taburkan dengan ikan bilis dan kacang.

Masukkan dalam minyak yang panas tadi. Biarkan adunan keluar sendiri dari acuan. Goreng hingga masak.

Rabu, 31 Ogos 2011

Maruku

Maruku

Bahan-bahan :

1 kampit tepung kacang kuda
1 kg tepung beras pulut
½ kg tepung ubi
Udang kering secukupnya
1 piring cili kering 
1 sudu biji lemuju
2 sudu makan gula
Garam secukup rasa
Santan daripada 1 biji kelapa

Cara Membuatnya :

Masukkan cili, biji lemuju, udang kering dan sedikit santan ke dalam blender. Mesin hingga hancur.

Ayak tepung kacang kuda, tepung beras pulut dan tepung ubi. Gaulkan.

Masukkan gula, garam serta bahan yang dimesin tadi. Gaul lagi.

Masukkan santan secukupnya. Uli hingga menjadi doh yang sebati. 

Kemudian, bolehlah digoreng dengan minyak yang panas.

Isnin, 29 Ogos 2011

Kuih Bakar Kacang

Kuih Bakar Kacang

Bahan-bahan :

1 kg kacang hijau yang dibuang kulit
1 kg tepung ubi
Gula halus
4 biji telur
Sedikit garam
Santan pekat daripada 1 biji kelapa

Cara Membuatnya :

Kacang hijau dibasuh dan digoreng tanpa minyak hingga kuning dan garing. Tepung ubi juga digoreng tanpa minyak hingga wangi dan ringan.

Setelah itu, kisar kacang hijau hingga halus. Ayak agar kisaran kacang lebih halus.

Sukat kacang hijau yang telah dimesin menggunakan mangkuk.

Perhatian :

1 mangkuk kacang yang dimesin bersamaan 1 mangkuk gula halus dan 1 mangkuk tepung ubi harus dimasukkan ke dalam adunan. 

Contohnya jika terdapat 3 mangkuk kacang yang telah dimesin, sila masukkan 3 mangkuk gula halus dan 3 mangkuk tepung ubi.

Kacau rata ketiga-tiga bahan ini.

Telur dipecah dan dipukul hingga kembang dan masukkan sedikit garam.

Seterusnya, masukkan telur ke dalam campuran tepung tadi. Gaul lagi.

Kemudian masukkan santan secukupnya. Uli hingga sebati.

Tekan doh dengan meletakkan sedikit minyak ke atas acuan agar mudah untuk mengeluarkan kuih dan tidak menjejaskan kecantikan kuih.

Bakar dalam oven hingga masak dan garing.